Sistem Kerja-Kerja Penampalan (Pothole) Jalan-Jalan Minor Di Negeri Terengganu

Skop Kerja

Pengenalan

Kerajaan Negeri Terengganu

memperuntukkan sumber kewangan yang besar setiap tahun untuk membina jalan-jalan baru. Jalan-jalan ini lazimnya akan mengalami kecacatan atau kerosakan mengikut masa dan juga akibat dari beban trafik yang semakin bertambah.

Kerja-kerja penyenggaraan

biasanya dilakukan bagi memastikan permukaan dan struktur asas jalan sentiasa berada di dalam keadaan yang baik. Penyenggaraan berterusan ini akan membantu mengelakkan kerja-kerja pembinaan semula bagi jalan-jalan yang rosak teruk yang mana kosnya akan memakan jumlah yang lebih tinggi yang semuanya ini juga memerlukan penyenggaraan secara sistematik agar sistemnya sentiasa berfungsi dengan baik dan memberi keselamatan dan keselesaan kepada pengguna-pengguna jalanraya.

Berdasarkan maklumat

di dalam sistem MARRIS Online berakhir Disember 2016, Negeri Terengganu mempunyai lebih kurang 12,311 km jalan negeri dan jalan kampung yang berdaftar dalam MARRIS. Di mana pecahan untuk jalan minor seperti yang ditunjukkan di bawah. Kebanyakkan jalan–jalan ini tidak disenggara dengan baik terutama kerosakan permukaan jalan (pothole) yang membahayakan kepada pengguna. Bagi mengatasi masalah ini, syarikat Permint Granite - HCM Sdn Bhd akan menyenggara keseluruhan jalan minor yang merangkumi 7,517.45 km dalam masa 5 tahun.


Pothole

Apa itu Pothole?

Pothole adalah sejenis kerosakan pada permukaan jalan di mana sebahagian bahan turapan telah pecah dan tertanggal lalu membentuk lubang. Kebanyakan pothole terjadi akibat kelesuan (fatigue) pada permukaan jalan.

Bagaimana Pothole terbentuk?

Keretakan halus sekiranya tidak dirawat akan menjadi semakin lebar dan bercambah sehingga ketulan bahan permukaan jalan terbongkah lalu membentuk pothole. Sekiranya dibiarkan tanpa ditampal, air yang bertakung akan mudah menyerap masuk ke lapisan bawah lalu melemahkan asas jalan, menyebabkan kerosakan lebih parah.

Punca-Punca

  • Campuran premix yang tidak sempurna. Kadar peratus bitumen yang digunakan rendah. Aggregate yang digunakan kotor menyebabkan ikatan di antara aggregate dan asphalt menjadi lemah dan mudah tertanggal.
  • Kualiti semasa proses turapan dijalankan. Proses pemadatan (compaction) yang tidak sempurna dan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Suhu semasa proses pemadatan juga tidak mengikut spesifikasi.
  • Perubahan cuaca terutamanya ketika musim hujan mampu melemahkan struktur pavemen.
  • Sistem saliran longkang yang teruk boleh menyebabkan air bertakung dan meresap ke dalam turapan pavemen. Ia akan menyebabkan terhasilnya lubang-lubang kecil seterusnya membentuk pothole yang besar sekiranya dibiarkan dan tidak dirawat dengan segera.

Adakah wajar Pothole seadanya terus ditampal?

Tidak wajar kerana keratan segi empat, 150 mm dari tepi pothole, perlu dibuat dan dibentuk dengan mesin pemotong pavemen, dengan kedalaman keratan tidak kurang dari kedalaman pothole. Penampalan terus pothole tanpa dibuat keratan, atas sebab keselamatan pengguna jalan raya di mana setiap pothole seharusnya ditampal dalam tempoh 24 jam mengikut Piagam Pelanggan, dianggap bersifat sementara.

Boleh terus tampal keratan segi empat?

Tidak boleh. Bahan terlerai susulan tindakan memotong di sekeliling pothole perlu dibersihkan terlebih dahulu. Sekiranya keratan segi empat itu mendedahkan lapisan crusher-run atau lapisan asphalt sedia ada, tack coat gred RS-1K perlu disembur pada kadar 0.25-0.55 liter/m2 dan dibiarkan seketika ~ 30 minit. Pada masa yang sama, tack coat perlu disapu di bahagian tepi keratan lapisan asphalt (sekiranya tidak, rekahan mudah terbentuk di sekeliling kawasan tampalan). Hanya selepas itu, baru keratan segi empat itu boleh ditampal dengan premix.

Jenis premix yang boleh dipakai untuk menampal?

Premix dari jenis 'hot mix' atau 'cold mix'. Kedua-dua jenis perlu mematuhi jadual 4.10 dalam JKR/SPJ/1988, dari aspek stability, stiffness dll. Oleh itu, 'cold mix' yang tidak mempunyai kekuatan secukupnya tidak wajar digunakan. Sekiranya digunakan juga, penampalan dianggap bersifat sementara.

Tahap mampatan bahan tampalan yang boleh diterima?

Ketumpatan mampatan perlu mencapai 90-100% ketumpatan Marshall.

Bolehkah dibuka terus kepada trafik selepas siap menampal?

Oleh kerana keratan segi empat yang ditampal adalah kecil, penyerapan haba ke bahagian tepi keratan dan kehilangan haba dari permukaan terdedah akan menyejukkan asphalt dengan lebih cepat. Oleh kerana itu, sekiranya premix jenis 'hot mix' dipakai, kawasan tampalan boleh dibuka serta merta dan tidak perlu tunggu 4 jam seperti lazimnya untuk bahan tersebut sejuk dan set sepenuhnya. Sekiranya 'cold mix' yang mematuhi Jadual 4.10 dalam JKR/SPJ/1988 digunakan, kawasan tampalan sudah tentu boleh dibuka serta merta.

US Roads menggariskan 5 langkah cara menampal Pothole yang boleh bertahan lama

  1. Pengurusan trafik yang baik semasa menutup laluan.
  2. Penandaan kawasan untuk dipotong, sekurang-kurangnya 150mm sekeliling pothole.
  3. Pemotongan sekeliling pothole melibatkan pembuangan bahan pavemen yang telah rosak, pembersihan kawasan yang dipotong dan pengeringan kawasan yang dipotong, sekiranya basah.
  4. Penggunaan tack coat di bawah dan tepi potongan bagi memastikan bahan tampalan melekat pada kawasan yang dipotong.
  5. Penampalan kawasan yang dipotong dengan asphalt, tidak lebih dari 4 inci bagi setiap lapisan, dan dimampat sehingga mencapai ketumpatan yang mencukupi.

Kerja-Kerja Penampalan (Pothole)

Sistem eTapong

Info Jalan

Senarai jalan-jalan minor yang dicerap di seluruh Terengganu.

Penyelenggaraan

Status kerja-kerja penampalan (Pothole).

Aduan

Boleh dibuat oleh kontraktor atau orang ramai.

Laporan

Statistik aduan dan kerja-kerja yang sudah dibuat.

Latar belakang Syarikat

PERMINT GRANITE-HCM SDN BHD merupakan gabungan antara Permint Granite Sdn. Bhd. dan HCM Engineering Sdn. Bhd. Syarikat ini telah di tubuhkan pada tahun Mei 2009 dan daftarkan di bawah Akta Syarikat 1965.

Syarikat ini merupakan syarikat pakar dalam bidang pembinaan, membaik pulih dan penyenggaraan jalan. Syarikat ini juga telah dilantik oleh kerajaan Negeri Terengganu bagi menjalankan kerja-kerja penyenggaraan jalan-jalan minor bagi seluruh negeri Terengganu yang mana skop kerja adalah penampalan lubang permukaan jalan (Pothole) sahaja bagi tempoh 5 tahun bermula 2017 hingga 2022.

Bagi melicinkan operasi, syarikat telah mewujudkan pejabat yang terdiri daripada Ibu Pejabat, Section 1 dan Section 2.

Permint Granite-HCM Sdn Bhd


Ibu Pejabat
Lot Pt 28533 & 28534,
Taman Desa Solehah, Jalan Kelantan,
21060 Kuala Terengganu.

Section 1
Kemaman

Section 2
Kuala Terengganu

Galeri